Tuesday, October 21, 2008

PENGENALAN HERBA

Sejak zaman berzaman manusia mencari penawar dalam menyelesaikan permasalahan penyakit, namun dengan berkat kegigihan dan kajian yang berterusan oleh pakar-pakar tradisional, mereka banyak membantu dalam meringankan akibat penyakit di kalangan masyarakat. Kini penyakit yang kronik dan pelik-pelik telah berlaku, bukan saja di kalangan orang tua atau dewasa sahaja, malah kanak-kanak pun sudah mula diwartakan sebagai pengidap pelbagai jenis penyakit kronik.

Tuntutan dalam mengatasi serta menyelesaikan masalah penyakit kini sangat berat, pihak kementerian Kesihatan juga telah buntu mencari arah penyelesaian terhadap penyakit-penyakit yang sinonimnya dialami manusia seperti Darah tinggi, Diabetis ( Kencing manis), Tekanan darah rendah, Lemah jantung, Masalah buah pinggang, barah, dan lain-lain.

Tumbuhan yang ada di permukaan bumi memiliki keistimewaan dan keutamaan tersendiri. Kesuburan dan kehijauannya merupakan anugerah Tuhan sehingga di dalamnya memiliki keberkatan dan rahmat yang besar. Melalui siraman hujan dan sinaran matahari maka tumbuhan tersebut mempunyai kelebihan yang dapat menyembuhkan berbagai penyakit dan menjadi bahan yang boleh mengatasi masalah yang dihadapi manusia.

Setiap penyakit yang menimpa seseorang pastinya ada ubat yang boleh menyembuhnya. Melalui ketentuan ini, manusia berusaha untuk mencari formula agar dapat merawatnya dengan sempurna. Dengan pertolongan Ilahi, maka manusia sentiasa membuat kajian terhadap berbagai tumbuhan herba yang boleh dijadikan sebagai penawar terhadap pelbagai penyakit.

No comments: